SERAMAI 50 korban banjir telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala dua lagi masih belum ditemui sejak bencana itu berlaku pertengahan Disember.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua individu dilaporkan di Telemong dan Bentong, Pahang.
Katanya setakat ini juga dua Pondok Polis di negeri Pahang turut terkesan dengan bencana alam yang melanda itu.
“Setakat ini pihak PDRM mencatatkan jumlah kematian akibat banjir seramai 50 mangsa dengan dua lagi masih belum ditemui atau hilang dan setakat ini pagi tadi.
“Dan dimaklumkan ada dua premis ataupun Pondok Polis terkesan dengan banjir iaitu satu di Pekan satu di Jerantut setakat jam 6 pagi tadi tapi sehingga pukul 12 tengah hari tadi kedua-dua Pondok Polis tersebut telah pun surut air dan masih dalam proses pembersihan,” katanya memetik Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Kampung Jongok Batu, Dungun, Terengganu hari ini. – Malaysiapost

