Kerajaan dengar suara rakyat – Shahril Hamdan

0
2

BANTUAN langsung kepada mangsa banjir seperti yang disenaraikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi membuktikan ternyata kerajaan mendengar keluhan yang disuarakan rakyat.

Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Shahril Suffian Hamdan, berkata Bantuan Banjir Keluarga Malaysia itu jelas memberi alternatif kepada cadangan lain mahupun usaha-usaha yang telah diumumkan.

Menurutnya, sebelum ini timbul kekhuatiran bahawa antara tawaran yang telah diumumkan lebih awal, iaitu pinjaman daripada Tekun dan Bank Simpanan Nasional (BSN) tanpa faedah hanya akan menambah hutang mangsa banjir.

“Ternyata pandangan ini telah diambil kira dan kali ini, sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan dari kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.

“Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000 – malah amaun lebih besar daripada itu jika malangnya ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, secara keseluruhan jumlah bantuan langsung dari kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan akibat banjir boleh bernilai sehingga sebanyak RM61,000.

Menurutnya, bantuan itu sekaligus mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu terus meminjam dari masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP. 

“Kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab sesebuah kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara.

“Disamping itu, bantuan yang diumumkan mampu meliputi semua mangsa banjir – termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui 3 skim sebelum ini (i-Lestari, i-Sinar, i-Citra) sehingga sebanyak RM19,500 seorang.

“Juga menarik ialah segala perancangan yang ditekankan semula oleh Perdana Menteri berkenaan keutamaan tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat – membina atas beberapa tanda-tanda positif mutakhir ini seperti peningkatan FDI, pengurangan pengangguran, kenaikan nilai jualan borong dan runcit, dan sebagainya.

“Semoga segala perencanaan yang mengambilkira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan secepatnya serta sebaiknya, bagi memberi sinar baru kepada rakyat dan negara,” katanya.

Shahril turut berharap penularan Covid-19 varian Omicron dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022. 

“Tidak dinafikan, timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini. 

“Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak ‘seganas’ varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya.

“Sama-sama kita berdoa bahawa buat negara kita, cabaran ini serta ujian lain dapat terus dikendali dan didepani bersama dengan sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here