‘Tsunami’ balak sangat menakutkan

0
1

Najamuddin Mohd Nor

“KERETA kami jadi tempat berlindung sepanjang malam kejadian banjir dahsyat itu,” kata S Meena, 52, menceritakan detik cemas ketika Kampung Sri Telemong, Karak, dilanda ‘tsunami’ balak pada 19 Disember lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa bermalam di dalam kereta ketika bencana terburuk yang dialami sejak 30 tahun menghuni kampung berkenaan.

Bagaimanapun Meena bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat apabila mengambil keputusan tepat untuk meninggalkan rumah mereka ketika air mula meningkat kira-kira jam 7 malam hari kejadian.

Katanya, semua penduduk kampung tidak mempercayai ‘tsunami’ balak melanda kampung mereka dan menarik nafas lega kerana tiada nyawa yang terkorban dalam bencana itu.

“Mulanya kami tidak mahu keluar, tapi bila semua penduduk kampung mula meninggalkan rumah mencari tempat tinggi, saya dan suami pun setuju kerana takut air naik tinggi lagi sebab nampak lain sangat kali ini.

“Semua penduduk kampung membawa kereta masing-masing ke tempat tinggi dan kami beramai-ramai tidur dalam kereta di kebun kelapa sawit malam itu dalam kesejukan.

“Tak sempat nak selamatkan apa dah, sehelai sepinggang, yang fikir nak selamatkan diri dan keluarga saja,” kata ibu kepada tiga anak itu kepada Malaysiapost.

Sementara itu, tinjauan Malaysiapost ke kawasan bencana kelmarin, mendapati keadaan di Sungai Kerau di Jambatan Sri Telemong, Karak dipenuhi timbunan kayu dipercayai dibawa arus banjir disebabkan kejadian kepala air.

Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa dahsyatnya kuasa alam apabila lambakan kayu hanyut seperti pencungkil gigi berselerakan di kawasan tersebut, seluas mata memandang.

Bagi K Rajandran, 58, bencana banjir yang kali pertama melanda kampungnya ini disifatkan umpama tsunami.

“Ini bukan banjir lagi, ini tsunami sebab apa semua rumah kami tenggelam, air hampir ke paras bumbung, air bawa dengan kayu-kayu besar sekali.

“Memang menakutkan, saya pun tak sangka, mujur kami dapat menyelamatkan diri. Nyawa lagi penting walaupun sedih semua barang dalam rumah rosak dan hilang dihanyut air deras,” katanya.

Menurut Rajandran, Kampung Sri Telemong yang didiami kira-kira 30 buah rumah tenggelam sepenuhnya dalam banjir yang turut menghanyutkan ribuan kayu kayan ke kampung berkenaan.

“Sangat dahsyat, keesokan pagi apabila banjir surut, kami terkejut, ribuan kayu balak terkumpul di kampung kami.

“Kami tak boleh masuk ke kampung, jalan terhalang oleh kayu itu. Tapi kami lega kerana dapat selamatkan diri cepat, mujur kami tidak ditimpa balak.

“Tengoklah ribuan kayu balak itu di sungai telemong tu. Tengoklah kayu kayan tu melimpah ke tebing sungai dan terkena rumah penduduk kampung. Ada rumah yang rosak walaupun tiada yang roboh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here