Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga M Kuppan

0
2

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara, Datuk M Kuppan yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara,” menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini.

Mendiang yang berasal dari Pulau Pinang, mewakili skuad bola sepak kebangsaan selama lapan tahun bermula 1957 hingga 1965.

Mendiang semasa hayatnya turut mewakili pasukan Pulau Pinang selama 10 musim sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 1967.

Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, mendiang pernah membawa Malaysia memenangi Piala Raja Thailand sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1975 dan 1976 serta memenangi Piala Merdeka pada tahun 1976.

Terdahulu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Kuppan yang dilahirkan di Bukit Mertajam pada 14 Oktober 1936, meninggal dunia di Kuala Lumpur petang semalam.

Mendiang akan disemadikan di Butterworth.

Ketangkasan mendiang sebagai seorang penyerang mencetuskan jolokan Harimau Kumbang atau the Black Panther from Penang, selain Jetboots. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here