KEHIDUPAN Keluarga Malaysia dalam norma baharu benar-benar menguji kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diberikan mandat sebagai agensi penguatkuasa utama, untuk mendisiplinkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata walaupun terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19, namun warga PDRM kekal tabah dan komited dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.
Beliau malah berbangga dengan warga pasukan yang meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan, dan terus menabur khidmat kepada negara dalam apa jua keadaan, selari dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Menurutnya, tahun 2021 akan melabuhkan tirainya dengan membawa bersama episod duka seluruh penduduk dunia yang terkesan akibat penularan wabak maut Covid-19 yang masih belum berkesudahan.
“Belum pun mampu menghela nafas lega, negara kita diuji pula dengan bencana banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri. Kita sedar bahawa penularan wabak Covid-19 dan krisis bencana alam ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan kita.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan petugas PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2022 yang dikongsikan di laman Facebook rasmi PDRM, hari ini.
Beliau berharap semua warga PDRM mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2021, serta bersama-sama melangkah ke 2022 dengan semangat kental penuh iltizam, agar dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti kepada masyarakat serta negara.
“Sama-samalah kita berdoa semoga 2022 memberikan sinar kepada seluruh dunia agar kita dapat menjalani kehidupan normal seperti sedia kala. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2022,” katanya. – Malaysiapost

