Nurul Huda Abhar
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan jumlah ahli Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) yang mendaftar secara dalam talian kini mencecah 10,000 orang.
Ahli Parlimen Muar itu, berkata jumlah keahlian tersebut dicapai hanya dalam tempoh 48 jam selepas borang permohonan secara dalam talian dilancarkan.
Beliau juga menyindir pihak yang sebelum ini merendahkan kredibilitinya dalam kancah politik sebagai mentah, melabelkannya ‘cucu’ dan tidak akan mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
“Dulu panggil saya budak ‘mentah & bodoh’ yang tak akan menang PRU. Bila berjaya di Muar dan ke Parlimen untuk berdebat dengan berhemah, disindir ‘cucu’.
“Dalam 48jam, #MUDA sudah mendaftarkan +10,000 penggerak! Lagi disindir, lagi kami lawan!” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, mengusulkan permohonan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Khamis lalu.
Borang permohonan keahlian itu dibuat secara dalam talian sementara menunggu kelulusan daripada ROS.
Difahamkan, individu yang telah berjaya mengisi borang akan dihubungi kemudian untuk pendaftaran secara rasmi.
Maklumat yang perlu dilengkapkan adalah alamat emel, nama, nombor telefon, umur, jantina, lokasi dan kawasan mengundi.
Malah, sehelai kemeja-T berwarna hitam dengan tulisan ‘Muda’ turut dijual pada harga RM50. -Malaysiapost

