KAPAL tangki dan bot nelayan asing yang dikendalikan warga Indonesia ditahan kerana berlegar serta berlabuh di perairan negara tanpa kebenaran.
Kapal tersebut dikesan unit ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang melakukan rondaan Op Benteng di perairan Johor Timur, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Tan Ah Bik, berkata penahanan pertama membabitkan kapal tangki pada jam 1.35 petang yang didapati bersauh di kedudukan 14 batu nautika timur Tanjung Siang.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan enam lelaki Indonesia berusia 24 hingga 3 tahun.
“Pemeriksaan dokumentasi mendapati kapal didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa makluman Pengarah Laut dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
“Manakala pada jam 3.02 petang, anggota menahan sebuah bot asing disyaki milik nelayan Indonesia di 14.2 batu nautika dari timur Tanjung Siang.
“Dua kru Indonesia berusia 35 tahun dan 45 tahun berada di atas bot dan mereka disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dalam perairan negara,” katanya dalam kenyataan, seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, nelayan itu juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Imigresen 1959 kerana cubaan memasuki perairan Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan Akta Perikanan 1985 Seksyen 16(3) iaitu memasuki perairan Malaysia tanpa notifikasi.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan tiada pencerobohan di perairan negara. -Malaysiapost

