PRN Sabah: Gajah pun undi Warisan -Mohd Shafie

0
1

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata gajah pun akan mengundi Parti Warisan Sabah (Warisan) jika haiwan itu boleh mengundi kerana mendapat pembelaan daripada kerajaan pimpinannya.

Secara berseloroh Presiden Warisan itu berkata kalau gajah boleh mengundi, beliau pasti hidupan liar itu akan memilih Warisan kerana kawasan hutan yang menjadi sumber makanannya tidak lagi diganggu dengan aktiviti pembalakan.

Katanya, ia berikutan langkah kerajaan pimpinannya menghentikan pembalakan haram selepas mengambil alih kerajaan negeri pada 2018.

“Pembalakan haram kita hentikan, dulu masa Musa (Tan Sri Musa Aman), gajah mati setiap bulan pasal makanan tidak cukup. Gajah masuk ke kawasan ladang makan kelapa sawit, makan pisang kerana tiada makanan di hutan.

“Hari ini sudah tiada. Nasib baik gajah tidak boleh mengundi, kalau mengundi ia pasti akan undi Warisan sebab makanannya sudah cukup.

“Ini cara kita, bukan saja kita mengambil berat soal kebajikan manusia, rakyat di Sabah ini, malah kita juga memikirkan nasib hidupan liar termasuk gajah. 

“Kita mesti memelihara hidupan liar ini kerana haiwan pun mahu hidup,” katanya ketika berkempen di Lumadan, Beaufort.

Katanya, rakyat Sabah perlu memastikan Warisan Plus kembali memerintah negeri ini agar ia dapat ditadbir mengikut acuan rakyat Sabah sendiri.

Tegasnya, walaupun ramai pemimpin dari Kuala Lumpur termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun berkempen di Sabah ia tidak mengubah pendirian rakyat negeri itu yang mahukan kerajaan dipimpin mereka sendiri.

“Kita mahu sampaikan mesej kepada Kuala Lumpur, bahawa ini hak Sabah, kita tentukan siapa berkuasa, pasal itu kita serah kepada Tuan Yang Terutama (TYT), nasihatkan TYT untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya Ketua Menteri selama 26 bulan, bukan senang mahu lepas jawatan ini. Jangan ingat Sabah macam di Semenanjung mereka tukar Ketua Menteri di Melaka dan Menteri Besar di Kedah serta Johor.

“Apa mereka ingat di Sabah boleh tukar juga. Mereka kata sebelum ini boleh cukup (kerusi) untuk tukar tetapi sampai sekarang tidak pandai cukup. Ini Sabah, kita bukan seperti Kedah, Johor atau Melaka. Sabah ialah Sabah, kita punya.

“Jadi saya berharap sangat kepada pengundi supaya jangan jual undi, kita undi bukan pasal duit, undi ini untuk cucu kita, untuk bumi Sabah, untuk orang Sabah,” katanya.

Tegasnya, rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama perlu menyokong Warisan Plus sebagai satu landasan untuk menolak propaganda bersifat perkauman yang dilemparkan pakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Dulu ketika saya dalam BN, mereka kata saya bagus tetapi kini apabila saya lawan BN, jadi pendatang asing tanpa izin (PATI) saya. Apa mereka ingat Bajau ini PATI, Bajau ini ‘native’ bah.

“Ini yang saya beritahu jangan hina bangsa, kaum..kita orang Sabah, negeri ini kita punya. Kuala Lumpur kena rasa apa yang kita rasa, jangan hanya fikir apa yang mereka rasa.

“Mereka (Kuala Lumpur) tidak faham keperluan kita..air, jalan raya, elektrik masih banyak keperluan di sini. 

“Sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu, bukan jumpa air di Jabatan Air tetapi  jumpa duit, air tiada. Jumpa duit di rumah, bonet kereta, lepas itu kata ini duit shafie. Mereka yang ambil duit, saya yang kena penjara,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Semporna itu mengingatkan rakyat Sabah supaya sedar dan membulatkan hati menyokong Warisan Plus dan memastikan calonnya di seluruh negeri mencapai kemenangan.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya selepas menjelajah seluruh negeri bermula di pantai timur minggu lalu, Warisan Plus mempunyai peluang yang cerah untuk kembali memerintah negeri ini sejajar sokongan menggalakkan daripada rakyat. -Malaysiapost