CIRI tambahan baharu dalam aplikasi MySejahtera dikenali MySJ Trace akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kontak kasual atau kontak rapat dan untuk memastikan rakyat hidup bersama virus Covid-19 dalam persekitaran selamat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ciri MySJ Trace itu menggunakan teknologi Bluetooth mengesan kontak iaitu bagi mereka yang berada pada jarak dan waktu tertentu.
“Sekiranya ada orang yang kemudiannya positif dan bersetuju untuk berkongsi maklumat dengan KKM baru kita beri notifikasi kepada anda, bahawa anda adalah kontak kasual.
“Sebelum ini sistem maklumat dibuat dengan sistem check in dan check out setiap kali masuk premis.
“Ini memboleh kita memaklumkan kepada anda sekiranya berada di tempat sama dengan orang disahkan positif, untuk menjalankan ujian kendiri sekiranya disenarai sebagai kontak kasual atau diasing sebagai kontak rapat,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Khairy menyarankan orang ramai agar menggunakan ciri Bluetooth MySJ Trace ketika berada di tempat awam bagi langkah-langkah keselamatan dan pengesanan kontak.
“Saya sarankan ciri Bluetooth MySJ Tracen ini digunakan sewaktu anda berada di kawasan awam. Kalau sudah balik rumah padamlah Bluetooth,” katanya.
Fungsi ciri baharu itu bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS), iaitu satu daripada program pemantauan KKM dalam aktiviti pencegahan dan mengawal penularan jangkitan Covid-19.
Orang awam dinasihati mengemas kini aplikasi MySejahtera bagi mengaktifkan fungsi MySJ Trace itu dan ia boleh dimuat turun bermula 25 Disember. – Malaysiapost

