Nurul Huda Abhar
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman tampil menjelaskan masalah longgokan sampah dihadapi mangsa banjir di kawasan Kampung Chegar Medang, Bentong yang masih lagi tidak mendapat penyelesaian.
Beliau berkata, pihaknya ada menyewa beberapa lori dan ‘backhoe’ untuk kerja-kerja pembersihan sebagai jentera tambahan daripada Majlis Perbandaran Bentong dan Alam Flora.
Menurutnya, terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat datang membantu secara sukarela untuk kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.
“Tapi kawasan Kampung Chegar Medang itu sendiri luas dan kami selesai setiap kawasan satu per satu mengikut turutan. Jadinya saya mohon agar penduduk bersabar kerana kami sedang berusaha untuk membersihkan kawasan tersebut.
“Lori-lori dan backhoe yang disewa oleh pejabat saya dibiayai dari sumbangan orang ramai melalui inisiatif #BantuKetari dijalankan di media sosial oleh pejabat saya,” katanya kepada Malaysiapost.
Young Syefura berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang dana dari kerajaan negeri dan Persekutuan untuk perbelanjaan pengurusan pasca banjir dan sewaan jentera untuk proses pembersihan tersebut menelan belanja yang sangat besar.
Demikian itu, beliau sangat memerlukan sumbangan dana daripada orang ramai untuk digunakan bagi membiayai kos-kos pembersihan pasca banjir di kawasan Ketari.
“Saya juga mengalu-alukan jika ada NGO atau korporat yang ingin menaja jentera yang boleh digunakan untuk kerja pembersihan di sekitar Bentong.
“Saya juga nak ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada sukarelawan, NGO dan korporat serta individu persendirian yang telah datang ke DUN Ketari untuk membantu kerja-kerja pembersihan selepas banjir,” katanya lagi.
Semalam, Malaysiapost melaporkan berkaitan masalah sampah berlonggok di tepi rumah dan bahu jalan dihadapi mangsa banjir di kawasan Kampung Chegar Medang, yang tidak mendapat perhatian pihak berwajib.
Tinjauan di kawasan Ketari mendapati sisa-sisa pembersihan rumah pasca banjir masih berlonggok di hadapan kediaman penduduk. – Malaysiapost

