Banjir: KPLB segerakan baik pulih kerosakan infrastruktur

0
1

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan kerja-kerja baik pulih kemudahan infrastruktur di bawah kelolaannya yang terjejas dilanda bencana banjir.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, antara infrastruktur rosak teruk termasuk jalan kampung, jambatan kecil yang menghubungkan antara kampung, surau dan longkang kampung yang perlu dibaik pulih secepat mungkin.

“Kerosakan kecil, kita boleh buat kerja baik pulih dengan segera namun kerosakan besar seperti jambatan runtuh kita perlu tunggu hingga kos membaiki atau bina baharu diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR ).

“Seperti di Jelebu, banyak jalan kampung yang rosak dan ia turut diberi perhatian untuk dibaiki,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan KPLB kepada Pejabat Parlimen Jelebu di Kompleks Umno Simpang Pertang di Jelebu hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mahdzir berkata banyak kawasan luar bandar yang terbabit banjir di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor turut mengakibatkan banyak kerosakan jalan kampung.

Sehubungan itu beliau telah meminta pegawai KPLB khususnya di Bahagian Prasarana, Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan Bahagian Kewangan untuk mengambil tindakan segera melaksanakan kerja baik pulih di kawasan terjejas banjir.

Sementara itu, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2021 Keluarga Malaysia kepada 373 mangsa banjir daerah Jelebu di Dewan D’sury, Kuala Kelawang.

Sebelum itu, Mahdzir meninjau infrastruktur jalan di Kampung Remal, jambatan Kampung Kemin dan Rumah Rakyat Sungai Rotan yang rosak teruk dilanda bencana banjir besar kali ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here