AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, Datuk Peter Anthony – seorang lagi ‘orang kuat’ Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan).
Naib Presiden Warisan itu dipetik Bernama berkata beliau bakal menubuhkan sebuah parti baharu yang akan kerjasama dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Turut bersama Peter meninggalkan Warisan ialah Adun Limbahau, Juil Nuatim.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah mempertahankan kerusi DUN Melalap setelah memperoleh 5,694 undi.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar yang memperoleh 3,526 undi.
Dengan pengumuman itu, setakat ini lima wakil rakyat Warisan telah meninggalkan parti itu sejak PRN Sabah tahun lalu.
Tiga wakil rakyat Warisan yang keluar parti sebelum ini ialah Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; Adun Sindumin, Datuk Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Adun Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Pengumuman Peter ini hanya kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkannya membela diri atas tuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter, 50, di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Januari 2022 untuk tertuduh membela diri. – Malaysiapost
Foto Kredit: Kosmo!

