AGIHAN Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi mangsa yang terjejas akibat bencana banjir sejak 18 Disember lalu sudah mula diterima sejak semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dana yang diperuntukkan kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.
Menurutnya, justeru itu bantuan berkenaan diagihkan secara tunai kepada mangsa melalui tiga kaedah.
“Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, membuat keputusan semalam, serahan tunai dilaksanakan bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI.
“Tiga kaedah digunakan bagi penyaluran BWI iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB); atau serahan tunai rumah ke rumah; atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, bantuan itu sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU.
“Tiga kaedah yang digunakan akan mempermudah urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas,” katanya.
Menurutnya, sehingga 27 DIsember 2021, kerajaan telah salurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir,” katanya. – Malaysiapost

