Najamuddin Mohd Nor
TAHUN 2021 sangat mencabar bagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja menuntut kesabaran bagi meneruskan kelangsungan hidup lantaran bergelut dengan pandemik Covid-19, malah resah mengikuti perkembangan politik yang tidak stabil sepanjang tahun.
Krisis politik Malaysia bermula apabila berlaku pergolakkan antara dua parti Melayu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.
Umno yang tidak menyertai PN namun menyokong pembentukan kerajaan itu susulan ‘Langkah Sheraton’ pada Mac 2020 dilihat tidak lagi boleh mengalah dengan parti serpihannya, Bersatu.
Ketidakstabilan politik bermula apabila Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz menyatakan pendirian untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 12 Januari.
Sebelum itu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyatakan pendirian sama untuk tidak lagi mempercayai kepimpinan Muhyiddin menerajui negara.
Dipercayai tindakan itu bagi memberi tekanan kepada Muhyiddin yang beberapa bulan sebelumnya berjanji untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Mac.
Perkembangan itu menyebabkan majoriti sokongan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri goyah apabila dikatakan hanya memiliki sekitar 107 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Namun spekulasi bilangan sokongan terhadap Perdana Menteri terus lenyap apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenankan proklamasi darurat dilaksanakan selama enam bulan bermula 13 Januari lalu.
Proklamasi darurat atau darurat kesihatan itu dicadangkan kerajaan PN dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 di dalam negara.
Akta Ordinan Darurat dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan memerangi Covid-19 dengan lebih berkesan.
Bagi Umno, lain yang diminta lain pula yang terjadi. Parti itu menyifatkan proklamasi darurat adalah usaha Muhyiddin untuk mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan menggunakan Covid-19 sebagai talian hayat.
Namun pada hujung Mac, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 sebulat suara menetapkan ketetapan parti itu hanya bekerjasama dengan Bersatu sehingga Parlimen dibubarkan dan tidak akan bersama dalam satu pasukan pada PRU15 nanti.

Menjelang Jun, kehidupan rakyat semakin terhimpit apabila kerajaan PN melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin menggila.
Rakyat semakin resah, proklamasi darurat yang dikatakan ramuan terbaik melandaikan Covid-19 ternyata meleset, kes Covid-19 bagai hilang arah cara membendungnya selain jumlah kematian meningkat setiap hari.
Malah ramai mula mempersoalkan kepimpinan Muhyiddin yang dilihat tidak serius menangani pandemik berikutan peratusan rakyat menerima vaksin juga masih terlalu rendah.
Ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan, gejala bunuh diri meningkat mendadak antara lain dikatakan kerana rakyat dipaksa berkurung di rumah akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan.
Pakatan Harapan (PH) dan Umno mendesak Muhyiddin untuk mengadakan persidangan Parlimen bagi membincangkan masalah itu, namun beliau memaklumkan Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada penghujung September.
Lantaran itu, Umno tidak boleh lagi menunggu lama dan membuat tindakan drastik untuk mendesak Muhyiddin berundur.
Kemuncaknya, 15 Ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 3 Ogos sekali gus menyebabkan Muhyiddin mempertimbangkan meletakkan jawatannya.
Akhirnya, keesokan harinya Muhyiddin mengumumkan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sekali gus mengheret sekali lagi Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapakah yang terbaik memimpin Malaysia dalam situasi meruncing ketika itu.
Setelah hampir seminggu rakyat resah menanti siapakah Perdana Menteri baharu yang bakal membawa Malaysia keluar daripada segala kemelut melanda, tanpa diduga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah diperkenan untuk dilantik Perdana Menteri kesembilan.

Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan itu setelah bertemu dengan semua ketua parti politik dan mendapati Ismail Sabri memperoleh sokongan majoriti menjadi Perdana Menteri.
Tanggal 21 Ogos secara rasminya Ahli Parlimen Bera daripada Umno itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara.

Tiada lagi kerajaan PN selepas itu apabila Ismail Sabri mengumumkan kerajaan diterajuinya ialah Kerajaan Keluarga Malaysia yang mementingkan kestabilan politik untuk kebaikan rakyat dan negara. – Malaysiapost

