Tiada Ah Long dekati mangsa banjir di Taman Sri Muda

0
2

TIADA mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam yang tampil mendakwa ditawarkan pinjaman daripada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long, setakat ini.

Berdasarkan satu perkongsian di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hasil temubual beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir teruk di kawasan terbabit mendapati tiada isu Ah Long.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Shah Alam yang diketuai oleh BSJK, Asisten Superintendan Mohd Farhan Jamion telah menemubual beberapa penduduk sekitar Taman Sri Muda mengenai isu Ah Long yang menawarkan pinjaman kepada mangsa-mangsa banjir.

“Hasil temubual mendapati penduduk tiada ditawarkan sebarang tawaran pinjaman wang dari Ah Long dan juga tiada menerima kad perniagaan daripada pihak Ah Long,” menurut hantaran di Facebook berkenaan

Menurutnya, pihak IPD Shah Alam menasihatkan kepada semua penduduk untuk tidak membuat pinjaman yang ditawarkan oleh pihak Ah Long dan hanya membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah.

Terdahulu semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan terdapat beberapa individu dipercayai daripada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long, mula mendekati mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata walaupun sehingga kini tiada laporan diterima berhubung perkara itu, pihaknya tidak tolak kemungkinan sindiket mula menyasarkan mangsa banjir menjadi peminjam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here