Hilang penat lihat mangsa banjir ceria – Asyraf Wajdi

0
1

PENGALAMAN menjadi mangsa banjir besar yang melanda negara pada 2014, menjadi motivasi kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk terbabit sepenuhnya dalam usaha membantu mangsa banjir luar biasa yang melanda beberapa negeri kali ini.

Berkongsi mengenai banjir yang dialami pada penghujung 2014, beliau berkata rumah keluarganya di Kampung Tok Selehor, Tumpat, Kelantan ditenggelami air banjir berlumpur yang menyebabkan kerosakan besar harta benda.

“Hakikatnya apa yang dilalui oleh mereka (mangsa banjir) hari ini telah saya rasai pada tarikh yang sama 27 Disember, 7 tahun lalu pada 2014.

“Bahkan peristiwa banjir besar 2014 itu benar-benar memberi kesan psikologi kepada kami sekeluarga apabila ibu mertua yang terlantar sakit juga terkepung di rumah Taman Guru Pintu Geng Kota Bharu apabila sekeliling ditenggelami air,” kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, sebab itulah, apabila banjir luar biasa melanda banyak kawasan di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, motivasi untuk terlibat sepenuhnya di samping menggerakkan seluruh jentera Pemuda Umno dan Skuad Sabil seluruh negara untuk membantu sepenuh hati menjadi lebih tinggi.

“Ada orang tanya tak penat ke hari-hari bantu mangsa banjir dari pagi sampai ke petang. Sejujurnya memanglah penat bahkan badan terasa lesu setiap kali tiba di rumah lewat malam.

“Namun kepenatan hilang begitu sahaja apabila setiap kali melihat wajah mangsa kembali ceria selepas operasi pembersihan, bahkan lebih mendalam perasaan kepuasan apabila menerima ucapan terima kasih daripada mereka yang mengalami musibah besar ini,” katanya.

Beliau berdoa agar usah yang dilakukan dalam membantu mangsa-mangsa banjir diberkati dan rakyat serta negara tercinta dilindungi daripada musibah bencana yang memudaratkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here