PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghulurkan sumbangan kepada bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan yang terkesan akibat banjir besar, baru-baru ini.
Menerusi hantaran Facebook, FAM memaklumkan sumbangan itu bagi meringankan beban Azman selepas kediamannya di Hulu Langat, Selangor, dinaiki air.
Menurut FAM, inisiatif sumbangan itu adalah daripada presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sentiasa peka dengan kebajikan pemain dan bekas pemain.
“Bantuan dan sumbangan tersebut merupakan inisiatif daripada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang sentiasa peka dengan kebajikan pemain dan bekas pemain terutama kepada mereka yang telah banyak berjasa dan menabur budi kepada negara.
“Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Exco FAM ACP (Bersara) Md Dali Wahid menyampaikannya sendiri kepada Azman pagi tadi untuk sedikit sebanyak membantunya yang sedang menghadapi musibah,” menurut hantaran itu.
Azman sebelum ini yang juga merupakan salah seorang lagenda bola sepak Selangor pernah beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Beliau juga pernah mengendalikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2014 hingga 2015 serta menjadi jurulatih kepada pasukan remaja Kuala Lumpur. – Malaysiapost
Sumber: FB FAM

