BANTUAN Wang Ihsan RM1,000 yang dijanjikan kerajaan untuk mangsa banjir dapat mengurangkan beban tetapi masih belum mencukupi.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata walaupun kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa rakyat harus berwaspada dengan simpanan hari tua disokong kesatuan sekerja, namun kondisi rakyat ketika ini menuntut tindakan di luar norma biasa.
“Ramai yang dibebani komitmen dan hutang tertunggak. Ada yang sudah mula meminjam Ah Long yang lebih bermudarat.
“Kini ramai pula bagaikan jatuh ditimpa tangga akibat musibah banjir,” katanya dalam hantaran Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, ramai yang mengadu anggaran awal membaiki kereta yang rosak akibat di selami air secara purata RM4,000 , bahkan ada yang mencecah hingga berbelas ribu.
“Ini belum lagi diambil kira kerosakan rumah, perkakas elektrik, perabut dan pelbagai keperluan lain untuk memulakan kehidupan baharu pasca musibah,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, berhenti berterusan menggunakan alasan 20 peratus rakyat tiada simpanan hari tua jika pengeluaran i-Citra wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan.
“Realitinya yang meminta masih punya wang tersimpan di KWSP yang banyak sebab itulah mereka menuntut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Umno percaya rakyat boleh mulakan kehidupan baharu dan bekerja lebih kuat untuk menampung caruman demi keperluan hari tua nanti. – Malaysiapost

