NOOR Luminous Sdn Bhd yang merupakan pembangun aplikasi gaya hidup Muslim TheNoor turun ke beberapa lokasi di sekitar Selangor yang terjejas susulan banjir besar, baru-baru ini.
Misi bantuan dengan kerjasama Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (iLMU) mengagihkan bantuan kecemasan banjir berjumlah RM50,000 dalam bentuk tunai kepada kira-kira 60 keluarga yang terkesan.
Setiausaha Agung iLMU, Ahmad Fazrin Yahaya, berkata program bantuan kecemasan ini akan diteruskan dari masa ke masa.
“Bantuan ini akan terus disalurkan selagi dana dari masyarakat awam terus mengalir masuk. Pastinya proses pemulihan pasca bah besar seperti ini akan memakan masa mungkin sebulan atau lebih.
“Mangsa banjir amat memerlukan bantuan dari kita dalam pelbagai bentuk,” katanya yang juga penasihat aplikasi TheNoor.
Dalam pada itu, wartawan dan pengamal media antara yang menerima sumbangan bantuan tersebut.
Misi agihan bantuan tunai ini bermula dari Kampung Kenangan ( Puchong), Meru (Klang), Sri Muda (Shah Alam), Hulu Langat dan Dengkil. – Malaysiapost

