AGENSI Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kena memainkan peranan untuk saling bekerjasama tatkala dilanda bencana.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kritikan mempersalahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani bencana banjir yang melanda ketika ini adalah tidak wajar.
Malah Najib berkata, sesi saling menyalahkan antara satu sama lain antara menteri-menteri dengan Ketua Menteri tidak patut berlaku kerana mangsa banjir perlu bantuan segera dan bantuan untuk memulihkan kehidupan mereka.
“Saya perhati ada kekecohan mengenai peranan MKN dengan NADMA berhubung pengendalian.
“Sepatutnya agensi-agensi dan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk membantu Rakyat.
“Mangsa banjir tak mahu tengok mereka main game salah-menyalah. Mangsa banjir sedih melihat game salah menyalah berlaku. Saya turut sedih,” katanya di Facebool, hari ini.
Mengulas mengenai NADMA, Najib menjelaskan, ia ditubuhkan pada tahun 2015 ketika beliau menjadi Perdana Menteri susulan banjir besar berlaku di Pantai Timur pada 2014.
Katanya, NADMA berperanan bagi mengambil alih tanggungjawab pengurusan bencana alam daripada MKN.
“NADMA pun ditubuhkan melalui pindahan perjawatan dari bahagian pengurusan bencana MKN, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dari Unit Pengurusan Pasca Banjir ICU.
“Konsepnya serupa dengan Federal Emergency Management Agency (FEMA) di Amerika Syarikat sebab kami percaya sebuah agensi pusat yang khusus dan fokus pada pengendalian pengurusan bencana adalah lebih efektif dan lebih bersedia untuk memberi respon yang laju.
“Selaras dengan model ini, setiap negeri juga ada unit dan jawatankuasa pengurusan bencana masing-masing yang diketuai kerajaan negeri,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, MKN dan NADMA tidak patut dipersalahkan sepenuhnya dalam mengurus bencana banjir yang melanda ketika ini.
“Jadi, ianya tidak betul untuk salahkan MKN pusat atau di peringkat negeri bagi pengurusan bencana banjir.
“Ianya juga tidak betul untuk kata NADMA tak memainkan peranan bagi bencana banjir. Nama pun sudah Agensi Pengurusan BENCANA Negara.
“Dan ianya juga salah bagi kerajaan negeri untuk nafi tanggungjawab mereka dalam pengurusan dan pencegahan banjir dan hanya nak salahkan kerajaan pusat sahaja,” katanya. – Malaysiapost

