79 kematian dalam tahanan direkodkan sejak 2015

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

[PARLIMEN] MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan terdapat 79 kes kematian dalam tahanan antara 2015 hingga September 2021.

Beliau berkata, bagi tempoh berkenaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sejumlah 606,664 tahanan yang ditahan di lokap seluruh negara.

“Daripada jumlah itu mahkamah telah memerintahkan 20 kes dalam prosiding inkues; 17 kes dalam tindakan Timbalan Pendakwaraya; 12 kes masih dalam siasatan; dan 30 kes berstatus ‘no further action’,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Hamzah berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa yang meminta kerajaan menyatakan kes kematian dalam lokap polis dalam tempoh 2015 hingga 30 September 2021 dan langkah-langkah untuk mengurangkan kes-kes kematian dalam lokap polis.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam mengendalikan tahanan yang mempunyai masalah perubatan, seperti meningkatkan rondaan di lokap pada waktu malam serta menyediakan bilik rawatan dan pembantu perubatan.

Katanya, KDN juga dalam proses menambah baik pengurusan lokap polis dengan mewujudkan unit perubatan tahanan (CMU) di lima lokap berpusat.

Katanya, projek perintis untuk CMU akan dilaksanakan di lokap berpusat Bayan Baru di Pulau Pinang.

“Proses memasang CCTV di semua lokap di balai polis dan ia dijangka siap pada penghujung 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here