Banjir: 522 pencawang elektrik di Pahang ditutup – TNB

0
2

SEBANYAK 522 pencawang elektrik ditutup smementara di Pahang berikutan situasi banjir yang melanda di lapan daerah negeri itu.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Baderul Sham Saad, berkata penutupan itu membabitkan 150 pencawang di Temerloh, diikuti Kuantan (145), Bentong (131) dan Lipis (65).

Selain itu, katanya, turut ditutup 15 pencawang di Jerantut, Bera (7), Raub (7) dan Maran (2).

“Penutupan pencawang elektrik dilakukan secara berperingkat sejak 19 Disember lalu hingga hari ini berikutan pencawang ditenggelami banjir.

“Bagi memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan selesa, sebanyak 10 generator elektrik disediakan di lima PPS di daerah Kuantan, empat di Temerloh dan satu di Lipis.

“Pencawang elektrik hanya akan dibuka selepas banjir surut sepenuhnya, selepas itu proses membaikpulih kerosakan akan dilakukan oleh kakitangan TNB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam pihaknya berjaya membaikpulih 270 pencawang elektrik di negeri itu, manakala 71 unit generator bergerak ditempatkan di kawasan yang terjejas banjir.

“TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan.

“Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru membuat penyambungan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna supaya tidak membaiki serta melakukan penyambungan sendiri.

“Ini kerana perbuatan itu boleh mengundang berlakunya kejadian litar pintas seterusnya kebakaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here