Banjir: Lapan tahun kumpul duit, kereta baharu musnah sekelip mata

0
1

SEORANG wanita pasrah menerima ketentuan takdir apabila kereta jenis Perodua Bezza yang baharu dibeli tiga bulan lalu musnah sepenuhnya akibat banjir di Hulu Langat, 19 Disember lalu.

Nuarjan Sulaiman berkata lebih menyedihkan kereta digunakan mencari rezeki itu dibeli selepas dia dan suami bersusah payah mengumpul wang selama lapan tahun serta sebahagiannya simpanan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebelum ni kami sekeluarga memang tak ada kereta, dah lapan tahun. Bila nak ke suatu tempat hanya menggunakan motosikal suami atau meminjam kereta orang lain.

“Nak masuk tiga bulan kereta tu dibeli, dapatlah memudahkan urusan keluarga. Anak-anak pun dah seronok bila keluarga ada kereta sendiri,” katanya dipetik YouTube Selangor TV.

Menceritakan detik cemas kejadian banjir malam minggu itu, Nuarjan berkata, ketika air naik mereka hanya mementingkan keselamatan diri dan dokumen-dokumen penting termasuk terpaksa memanjat siling rumah serta menanti hampir lima jam sebelum menerima bantuan.

Menurutnya, ketika itu dia dan suami hanya memikirkan keselamatan mereka anak beranak berikutan air naik mendadak dan terlalu deras.

Kereta milik keluarga itu diparkir 100 meter dari rumah mereka musnah dibadai banjir luar biasa yang pertama kali berlaku itu.

“Siapa yang tidak sedih kereta baru beli, selama lapan tahun meminjam kereta orang lain jika ada urusan keluarga, tapi kami reda dengan apa yang terjadi. Anggaplah tiada rezeki kali ini. Yang penting kami sekeluarga selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here