PENDUDUK Kampung Chegar Medang di Bentong, Pahang yang terjejas dalam kejadian banjir Sabtu lalu memerlukan pertolongan untuk kerja-kerja pembersihan dan bantuan keperluan harian.
Penduduk sangat mengalu-alukan bantuan pasca banjir termasuk keperluan kelengkapan pembersihan dan ‘man power’ untuk membantu kerja-kerja pemunggahan barang-barang yang perlu dibuang.

Menurut seorang mangsa, Mohamed Abhar Oshman, 63, berkata setakat ini bantuan dari segi tenaga kerja atau sukarelawan masih belum sampai di kawasan kampung tersebut.
“Sejak air surut kami mencuci rumah mana yang mampu. Bantuan masih belum masuk ke kampung ini. Ada juga sesetengah rumah yang rakan-rakan dari pejabat mereka atau saudara mara datang membantu.
“Kawasan ini semasa banjir paras air naik sehingga bumbung. Jadi boleh dikatakan memang semua barang dalam rumah rosak.
“Kami perlu pertolongan ‘man power’ mudahkan kerja mencuci,” katanya kepada Malaysiapost.

Mohamed Abhar berkata, bantuan dari segi pakaian bersih, peralatan solat dan lampin pakai buang juga diperlukan.
Menurutnya, beliau bersyukur terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin mengagihkan nasi bungkus dan air minuman kepada setiap rumah yang terjejas.
Jelas beliau, laluan masuk ke kampung itu masih disaluti selut tebal dan itu menyukarkan pergerakan keluar masuk kenderaan.
Berikutan itu, beliau berharap mana-mana pihak berwajib dan NGO sudi turun padang ke kampung tersebut untuk membantu penduduk sekitar yang terjejas teruk.
“Kami harap ada pihak datang beri bantuan kepada penduduk di sini. Satu kampung terjejas jadi bantuan daripada pihak luar boleh meringankan beban kami,” katanya. – Malaysiapost

