Ku Li nasihat saya sertai DAP – Zairil

0
2

NAIB Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari mendakwa veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah adalah individu yang menasihati beliau untuk menyertai DAP.

Zairil mendakwa, saranan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan Ku Li itu susulan pertemuan mereka yang turut disertai ayahnya, di mana beliau menyatakan hasrat untuk menyumbang jasa dan membawa pembaharuan dalam politik tanah air.

“Ku Li menerima baik keinginan saya untuk menyertai perjuangan politik, malah menzahirkan kepercayaannya pada kemampuan saya untuk menawarkan khidmat bakti dengan terpuji. 

“Beliau juga menyatakan dengan dukacita bahawa Umno sudah pun menyimpang daripada perjuangan asal. Malah, seorang anak muda dengan idea yang berbeza sudah tentu akan menghadapi kesukaran untuk menaiki tangga hierarki parti.

“Akhirnya, beliau mencadangkan sesuatu yang tidak saya sangkakan. ‘Mungkin kamu patut mempertimbangkan menyertai parti pembangkang kerana mereka lebih bersedia untuk memberi peluang kepada anak muda’,” katanya menerusi penulisan di Malaysiakini.

Zairil berkata, Ku Li kemudiannya bertanya di manakah ingin beliau berpusat dari segi politik dan Zairil menjawab di Pulau Pinang.

“Lalu beliau berkata bahawa sekiranya itu kehendak saya, maka pilihan pun jelas. ‘Saya percaya kamu mampu membawa impak jika kamu menyertai DAP’.

“Maka itulah cerita bagaimana saya menjadi ahli DAP pada tahun 2010. Sehingga ke hari ini, Ku Li masih mengingatkan saya bahawa beliaulah orang yang menasihati saya agar menyertai DAP. 

“Saya sememangnya amat menghargai nasihat yang beliau beri pada hari itu, kerana keputusan itu dibuktikan tepat dan membolehkan saya untuk berkhidmat kepada negara serta negeri Pulau Pinang,” katanya.

Zairil berkata demikian bagi memberi reaksi laporan di portal The Malaysian Insight yang bertajuk “Jangan jadi alat DAP, kata Ku Li pada anak muda Melayu”.

Beliau berkata, dalam laporan tersebut, Ku Li dipetik sebagai memberi saranan kepada anak muda Melayu dalam DAP agar “tidak dijadikan alat oleh kumpulan dalam DAP untuk menguasai negara ini”.

“Beliau kemudian menambah bahawa negara “ini asalnya Tanah Melayu dan tiada tempat lain di mana orang Melayu boleh pergi.”

“Saya selalu menghormati nasihat Ku Li sebagai seorang tokoh negarawan, malah saya telah berjaya dalam politik kerana nasihatnya. 

“Namun pada ketika ini saya ingin mengingatkan Ku Li bahawa negara ini Malaysia, dan tiada tempat lain di mana orang Malaysia boleh pergi,” katanya. -Malaysiapost