Foto Kredit: The Malaysia Online
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini, membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).
Nurul Izzah, berkata Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya memberi tumpuan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan bukannya melanggar semangat setiakawan.
“Fokusnya pilihanraya negeri Sabah, bukannya berlumba-lumba melanggar semangat setiakawan,” ciap Nurul Izzah di Twitternya seperti dilapor Suara Merdeka.
Nurul Izzah turut berkongsi laporan portal berita The Malaysia Insight bertajuk ‘Beri Shafie peluang jadi PM jika Anwar tiada sokongan, kata Guan Eng.
Portal itu melaporkan, Guan Eng dipetik berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi pilihan sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai kerajaan persekutuan.
Bercakap kepada Free Malaysia Today dalam satu wawancara, bekas menteri kewangan itu bagaimanapun berkata, Anwar adalah pilihan pertamanya tetapi menambah presiden PKR itu harus memberi jalan kepada Shafie jika mendapat lebih banyak sokongan. -Malaysiapost

