KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memutuskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang ditangguhkan kepada awal Mac 2021 sebelum ini, dianjak kepada 2 hingga 10 April.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi temasya itu yang memutuskan perkara berkenaan hari ini turut menetapkan Para SUKMA 2020 dipinda kepada 8 hingga 13 Mac.
Katanya, keputusan menetapkan tarikh baru penganjuran Sukma 2020 itu dicapai selepas mengambil kira kedudukan 171 atlet bertanding yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1 hingga 9 Mac.
“Oleh itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 membuat pindaan dengan mengelolakan dahulu Para Sukma 2020 pada 8 hingga 13 Mac 2021. Ia akan diikuti dengan penganjuran SUKMA 2020 Johor pada 2 hingga April 2021.
“Ini adalah pertama kali penganjuran Para Sukma dikelolakan lebih awal daripada Sukma,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan di Bangunan Dato Jaafar, Kota Iskandar, Johor, hari ini.
Sukma Johor 2020 sebelum ini dijadualkan semula untuk diadakan dari 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para SUKMA 2020 dari 5 hingga 10 April, selepas ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.
Reezal berkata, KBS akan mengambil sikap berhati-hati dan tidak akan terburu-buru membuat apa-apa keputusan berdasarkan situasi semasa.
“Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 bagi penentuan terakhir akan kita adakan pada Disember ini.
“Walaupun ada segelintir pihak menyarankan Sukma Johor 2020 dibatalkan, ia sebenarnya akan menghantar isyarat yang salah pada komuniti sukan terutama aspek latihan atlet, kejurulatihan selain penajaan,” katanya.
Reezal berkata Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menyarankan supaya modul penganjuran Sukma diubah daripada dua tahun sekali kepada empat tahun sekali berikutan kos penganjuran yang besar.
“Jawatankuasa Tertinggi Sukma pula mencadangkan ia diadakan secara bergilir iaitu dua tahun dianjurkan di negeri-negeri manakala dua tahun seterusnya pula dilangsungkan di Lembah Klang yang sudah memiliki fasiliti dan kemudahan sukan bertaraf dunia.
“Jadi ia tidak memerlukan perbelanjaan kos yang besar setiap dua tahun iaitu suku bilion setiap kali penganjurannya,” katanya.
-Malaysiapost

