Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Osman Sapian

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia, semalam.

Menerusi Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Osman dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negeri Johor dan negara.

“Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada tahun 2018.

“Allahyarham semasa hayatnya merupakan Menteri Besar Johor bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, Osman meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, pada jam 11.45 malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh abangnya, Datuk Aziz Sapian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here