Banjir: MB Selangor janji umum prosedur permohonan bantuan sistematik, mudah

0
1

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau akan mengumumkan prosedur permohonan bantuan yang lebih sistematik dan mudah kepada rakyat negeri itu yang terkesan akibat banjir.

Amirudin berkata, beliau mengambil maklum keluhan dan rintihan rakyat berkenaan proses permohonan bantuan-bantuan yang diumumkan semalam.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab utama untuk kerajaan negeri mempermudahkan urusan rakyat yang ditimpa musibah.

“Semalam semasa Sidang Media Khas Situasi Banjir di Selangor, saya telah mengumumkan beberapa inisiatif khusus buat rakyat Negeri Selangor yang terkesan akibat tragedi banjir ini.

“Selain itu, saya turut mengumumkan pelaksanaan langkah seterusnya iaitu fasa pembersihan dan pemulihan.

“InsyaAllah saya akan umumkan prosedur permohonan yang lebih sistematik, mudah dan tidak membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, timbul pelbagai polemik yang menyalahkan pelbagai pihak dalam isu tragedi banjir ini.

Namun baginya, fokus dan matlamat kerjaaan negeri kini untuk menyelamatkan nyawa serta membantu rakyat membina semula kehidupan.

“Itu adalah fokus dan keutamaan nombor 1 ketika ini. Marilah kita bersama-sama berganding bahu bekerja sedaya upaya serta memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa semoga keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Amirudin memaklumkan, pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sudah beroperasi semula sekali gus menyebabkan proses penyurutan banjir akan lebih pantas.

“Pintu air dapat beroperasi semula dgn bekalan tenaga dan generator TNB.

“Semalam MBSA dan ATM kerja keras sampai jam 3 lagi mengalihkan kenderaan tersadai yang telah menghalang dari generator dibawa ke pintu air,” katanya.

Amirudin juga turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) telah mengagihkan 5,000 kit ujian air liur Covid-19 sebagai permulaan di kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/@AmirudinShari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here