PENYANYI, Shila Hamzah mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya dan suami, Haris Idraki tidak lagi tinggal sebumbung sejak dua bulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan Shila atau nama sebenarnya, NurShahila Amir Amzah di Instagram miliknya, semalam.
Namun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci punca keretakan rumah tangganya.
“Dah dua bulan Sha keluar dari rumah dengan Seth, tumpang di rumah mak abah di Langat. Sha dah memfailkan perceraian tapi malangnya proses perceraian ini belum selesai sebab dia buat keputusan nak memanjangkan benda ni,” tulisnya.
Dalam pada itu, Shila dan keluarganya turut menjadi mangsa banjir yang melanda di kawasan Hulu Langat, Selangor sejak Jumaat lalu.
“Sekarang bila tengok rumah di Langat dah jadi macam ini. Rasa sedih sangat, sebelum ni tumpang berteduh kat rumah mak abah, tapi sekarang kita semua pula hilang tempat berteduh,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat pulang ke rumahnya di Cyberjaya kerana suaminya tinggal di sana dan terpaksa menumpang di rumah saudara.
“Kasihan satu family Sha duduk dalam satu bilik buat sementara waktu. How I wish I can go back to my Cyberjaya house, bolehlah return the favour to my parents,” katanya.
Shila dan Haris berkahwin pada 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais, berusia setahun. – Malaysiapost

