Oktovia Manrose sah jadi isteri bekas pemain bola sepak

0
2

PELAKON, Oktovia Manrose sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak Melaka United, Mohamad Khairul Efsan Mdisa.

Kedua pasangan disatukan dengan sekali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Magica Quill Ballroom, Quill City Mall, kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman dinikahkan bapa kandungnya yang juga penyanyi dangdut, Wan Syahman Wan Yunus atau Iwan.

Pernikahan tersebut disaksikan jurunikah, Mohd Fairudz Saderi.

Pada majlis bertemakan taman, Khairul Efsan, 31, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM80 kepada Oktovia, 30 dan wang hantaran dirahsiakan jumlahnya atas persetujuan kedua pihak.

Selain itu, Oktovia turut menerima lima dulang hantaran berbalas tiga dari pihak pengantin lelaki.

Oktovia dan Khairul yang ditemui pada majlis tersebut memberitahu mereka saling mengenali sebagai rakan biasa sejak tujuh tahun yang lalu.

“Kami mula berkawan pada 2015. Kenal menerusi ahli keluarga terdekat. Ketika itu tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap satu sama lain. Hanya sekadar kawan biasa.

“Pada 2017 dan beberapa tahun selepas itu kami terputus hubungan. Perasaan terhadap satu dengan lain mula timbul apabila kami dipertemukan semula beberapa tahun lalu,” katanya memetik Utusan Online.

Dalam pada itu, Oktavia mengakui keinginan bekas anggota pasukan Melaka United itu untuk sama-sama berhijrah mendekati Allah SWT menjadi antara sebab dirinya tertarik untuk bersuamikan Khairul.

“Dia lebih kurang diri saya. Saya sekarang dalam proses mendekatkan diri kepada Allah SWT, begitu juga dia. Kerana itu saya tertarik kepadanya,” katanya.

Sebelum ini, Oktovia pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suami, Mohd Izat Abdul Rahman sekitar 2011.

Mereka yang dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia sembilan tahun, bagaimanapun bercerai pada 2015. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here