KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan semua pihak supaya tidak terus bersikap menunding jari berhubung isu banjir besar yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya semua pihak berganding bahu membantu mangsa yang terjejas termasuk operasi membersihkan kediaman selepas pasca banjir.
Katanya lagi, usaha berkenaan lebih bermanfaat daripada terus menjadi ‘keyboard warrior’ yang tidak akan menyelesaikan isu yang berlaku.
“Daripada menjadi ‘keyboard warrior’ lebih baik dan jauh lebih bermanfaat jika dapat turut turun bersama sekurang-kurangnya membantu operasi mencuci dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, usaha membantu mangsa banjir memerlukan penglibatan banyak pihak kerana ia membabitkan jumlah yang ramai.
“Bagi yang ada sedikit kelebihan kewangan boleh menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan asas seperti tilam, bantal, selimut, peralatan dapur, air mineral, makanan asas dan lain-lain.
“Realitinya terlalu ramai mangsa yang terjejas dan hakikatnya tiada siapa boleh dakwa mereka sahaja yang mampu membantu semua.
“Yang penting jangan banyak menuding jari tapi terus turun dan buat. Ingatlah pesan Nabi SAW bagi yang sentiasa membantu meringankan beban saudaranya dalam,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat yang berterusan sejak Khamis lalu menyebabkan beberapa kawasan di beberapa negeri dinaiki air dan jumlah mangsa banjir yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Antara negeri terjejas termasuk Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Sementara itu, Kuala Lumpur, Selangor ‘lumpuh’ ekoran banjir besar yang melanda selepas hujan lebat tidak berhenti sejak Jumaat lalu.
Malah, banjir besar yang melanda negara sejak itu, sehingga kini mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.
Difahamkan, 20 kes daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang. – Malaysiapost

