KEADAAN kesihatan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang positif Covid-19 kini semakin baik dan tidak perlu melalui prosedur ‘ditidurkan’.
Adiknya, Khir Johari berkata, doktor memaklumkan prosedur itu tidak perlu dilakukan berdasarkan keadaan semasa abangnya ketika ini.
“Tak jadi..Dr kata “my condition getting better so no need incubation (Intubation) at the moment’.
“Begitulah whatsApp yang dihantar oleh abang saya Datuk Aziz kepada isterinya Datin Sabariah baru sebentar ini.
“Syukur Alhamdulillah berkat doa doa orang ramai yang tidak henti henti. Semoga ianya berterusan sehingga sembuh sepenuhnya. Allahuakhbar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam satu lagi hantaran terdahulu, memaklumkan Ab Aziz mungkin akan ditidurkan hari ini susulan jangkitan Covid-19, namun keputusan terakhir bergantung kepada doktor.
Media sebelum ini melaporkan Ab Aziz yang juga bekas Ahli Parlimen Sri Gading, dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, manakala isterinya, Sabariah Tokimin dikuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

