Banjir: Bukan masa berpolitik – Tun M

0
1

INI bukan masa untuk berpolitik, ini masa untuk kemanusiaan. Bantuan diberi tidak harus memilih siapa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam kenyataan kepada ahli parti Pejuang susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Perlu kita ingat bahawa hari ini orang lain memerlukan bantuan kita dan mungkin pada suatu hari nanti kita pula perlu bantuan orang lain.

“Di atas kesedaran ini kita hulur bantuan dengan penuh rasa insaf. Harapan kita, bantuan yang kita hulurkan dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mangsa,” katanya.

Dr Mahathir turut memaklumkan beliau tidak dapat turut serta bersama ahli-ahli Pejuang yang lain untuk membantu mangsa banjir.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat bersama tetapi saya yakin ahli-ahli Pejuang dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.

“Saya baca berita yang berkait banjir yang melanda negara kita. Ianya amat merisaukan dan sudah pasti kesusahan yang dihadapi mangsa-mangsa amat memeritkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pejuang itu mengucapkan syabas kepada ahli-ahli partinya yang terlibat dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli terlibat di dalam usaha menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk sekalipun. Syabas dan semoga diberi kerahmatan berpanjangan.

“Begitu juga dengan usaha yang dilakukan oleh semua rakyat Malaysia di pelbagai peringkat yang telah sama-sama keluar membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan dirinya susulan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) minggu lalu untuk menjalani rawatan rapi.

“Saya juga ambil kesempatan untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here