Jangan keji pemain dan salahkan jurulatih – Zaquan Adha

0
3

BEKAS Ketua Pasukan Harimau Malaya, Zaquan Adha meminta skuad kebangsaan yang gagal dalam kempen Piala AFF 2020 tidak dikecam oleh peminat negara. 

Beliau berkata pemain dan jurulatih tidak patut dipersalahkan sepenuhnya, sebaliknya terdapat faktor lain yang turut menyumbang Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam kejohanan terbesar bolasepak rantau asia tenggara itu. 

“Jangan keji pemain dan salahkan jurulatih.

“Malaysia memang tidak layak ke peringkat seterusnya,” katanya di Astro Arena selepas Harimau Malaya kecundang 1-4 kepada Indonesia di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi. 

Zaquan yang membawa Malaysia ke final dalam edisi tiga tahun lalu itu menolak untuk meletakkan kegagalan kali ini kepada barisan pemain mahupun jurulatih Tan Cheng Hoe semata-mata.

Ketua pasukan Negeri Sembilan itu menuntut semua pihak agar bersatu hati untuk bangkit lebih menyerlah dalam edisi akan datang. 

Katanya, skuad negara sudah pincang sebelum sepak mula lagi berikutan hanya menyenaraikan 24 pemain selain kesuntukan masa untuk persiapan rapi.

“Malaysia perlu menyenaraikan pemain yang ada minit permainan tetapi lakukan secara berperingkat. Rasa pedih tetapi inilah realitinya, kegagalan tidak harus dibawa ke depan,” katanya.

Zaquan menambah, kempen Piala Malaysia berakhir pada 30 November lalu telah menyebabkan Cheng Hoe memiliki kurang seminggu untuk melakukan persiapan malah beberapa tonggak yang dalam senarainya terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.

Skuad kebangsaan mengakhiri kempen di tempat ketiga di belakang juara Kumpulan B, Indonesia, diekori pemenang edisi lalu, Vietnam.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu, Malaysia perlu menewaskan Indonesia untuk layak ke separuh akhir. 

Harapan Malaysia pada mulanya bersinar apabila mendahului Indonesia seawal minit ke-13.

Bagaimanapun Indonesia berjaya bangkit dengan dua gol sebelum menuju rehat separuh masa pertama. 

Kebangkitan Harimau Malaya di separuh masa kedua jelas meleset apabila dikejutkan gol ketiga pada awal babak kedua sebelum garuda mematikan terus sisa-sisa harapan Harimau Malaya dengan gol keempat dua minit menuju tamat permainan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here