Saya tak guna aset kerajaan – Menantu PM

0
1

DATUK Jovian Mandagie menafikan beliau menggunakan aset kerajaan untuk tujuan peribadi selepas terkandas akibat banjir. 

Menantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu membidas dakwaan terhadap dirinya sebagai satu fitnah.

“Isu helikopter, tak perlu dipanjang. Bukan nak menunjuk, kalau nak menunjuk saya dah posing dan buat video OOTD (oufit of the day) sakan. Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bukan begitu.

“Saya tak guna aset kerajaan, lillahitaala tak mungkin saya akan guna benda yang bukan hak saya. You all nak maki hamun saya, teruskan tetapi itu adalah fitnah,” katanya di Instagram. 

Dalam pada itu, Jovian yang merupakan pereka fesyen terkenal memberi penjelasan berhubung pertikaian di media sosial apabila pasukan bantuannya tidak menggunakan helikopter tersebut bagi membantu mangsa banjir.

“Kenapa tak guna helikopter nak bantu orang ramai? Pasal itu helikopter komersial, jadi tak boleh nak buka pintu dan turunkan bantuan atau naikkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Jovian turut menjawab persoalan mengapa dia secara tiba-tiba menawarkan bantuan kepada mangsa banjir ekoran isu helikopter menjadi tular.

“Saya tiba-tiba buat bantuan setelah kena viral di Twitter? Saya bantu ikhlas kali ni, sewaktu White PPE, Palestine mask, bendera putih mask dan apa pun bencana. Saya suka bantu orang, dan ikhlas!” katanya. 

Jovian turut meminta individu yang kurang senang dengan dirinya untuk tidak mengikutinya di laman sosial.

“Kalau you tak suka saya, unfollow saja. Lebih baik bantu negara daripada terus mengecam perkara yang tidak benar tentang saya.

“Banyak perkara yang lebih baik perlu dilakukan bagi membantu rakyat di luar sana. Betul orang memang tengah sengsara. Kalau nak join turun padang agihkan makanan roger saya,” katanya.

Terdahulu, Jovian berkongsi di laman instagram memaparkan dia terkandas tidak dapat pulang ke rumah bertemu dengan isteri dan anak perempuannya kerana banjir di Lembah Klang, baru-baru ini. 

Perkongsian satu lagi di Instagram miliknya turut memaparkan pemandangan dari udara yang menyaksikan lokasi terjejas akibat banjir bagaimanapun telah dipadamkan.

Dua hantaran Jovian itu telah mencuri perhatian netizen yang menyifatkan perkongsian yang memaparkan dia menggunakan helikopter tidak sensitif dengan kesengsaraan yang menimpa mangsa banjir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here