Bendera terbalik: Ayob Khan ‘warning’ pemilik premis

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa pemilik dan penyelia premis memantau pemasangan bendera bagi mengelak isu pemasangan secara terbalik.

Menerusi kenyataan di Facebook, Ayob Khan, berkata biarpun sudah ada yang diambil tindakan undang-undang, isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik masih lagi berlaku.

“Saya tegaskan di sini pemilik dan penyelia premis harus memantau pemasangan bendera. Diharapkan perkara sedemikan tidak berulang lagi khususnya di negeri Johor,” katanya.

Menerusi status yang sama, Ayob Khan turut memuatnaik kenyataan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berhubung tangkapan dua individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di kilang plastik dan acuan di Kawasan Perindustrian Senai.

Beng Yeow berkata, pemilik kilang berumur 56 tahun dan pekerja lelaki warga Indonesia, 23, ditahan di kilang terbabit jam 2.50 petang, semalam.

Katanya, penahanan dua suspek itu susulan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan perkara itu tular di Facebook.

“Hasil soal siasat majikan terbabit mengaku ada mengarahkan pekerjanya untuk menukar Jalur Gemilang yang lusuh kepada bendera yang baru dan tidak dipantau semula.

“Siasatan mendapati pekerja warga asing itu baru tiga bulan bekerja di kilang itu dan memasang bendera seorang diri tanpa kehadiran majikan di lokasi.

“Majikan itu memberitahu pekerja terbabit memasang bendera negeri dengan betul tetapi bendera Malaysia dipasang terbalik”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998. – Malaysiapost