UMNO Sembrong mahu kepimpinan kerajaan sedia ada diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipertahankan seberapa lama yang mampu sehingga ke akhir penggal.
Ia antara usul dikemukakan Umno bahagian itu yang diketuai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut usul tersebut, kerajaan sedia ada diketuai Ismail Sabri selaku Naib Presiden Umno dan dibantu pemimpin-pemimpin Umno yang lain telah menunjukkan prestasi cemerlang.
Dalam soal pemilihan parti, Umno Sembrong menyerahkannya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan.
“Keputusan yang dibuat harus mengambil kira kestabilan negara, kesihatan rakyat, pemulihan ekonomi dan yang paling penting tadbir urus parti dapat dilakukan dengan baik,” menurut usul tersebut.
Selain itu, Umno bahagian mahu pemimpin di peringkat tertinggi mewujudkan kesefahaman jitu supaya ahli di peringkat akar umbi jelas dengan visi dan misi serta arah tuju parti.
Ia bagi memastikan ahli parti tidak dibiarkan membuat persepsi yang berbeza-beza.
Perwakilan Umno Sembrong juga melahirkan rasa syukur kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) masih diberi kepercayaan dan keyakinan oleh rakyat.
“Momentum ini jangan dipudarkan oleh pandangan berbeza dalam kalangan kepimpinan tertinggi di media sosial yang boleh dimanipulasi untuk menyemai perpecahan dalam parti,” kata usul tersebut. – Malaysiapost

