Umno PJ gesa PRU15 disegerakan

0
1

UMNO Bahagian Petaling Jaya menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera bagi mewujudkan kerajaan stabil dan kukuh demi kemakmuran rakyat Malaysia tanpa menafikan usaha aspirasi keluarga Malaysia.

Menerusi kenyataan hari ini, ia berkata pemilihan parti di semua peringkat perlu dilaksanakan selepas PRU15 bagi mengelak perpecahan dalaman parti dan memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara dalam mendepani PRU15.

Menurutnya, mesyuarat Perwakilan Umno bahagian itu hari ini juga bersetuju usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial sehingga berakhirnya perjanjian gencatan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

“Perwakilan juga menyarankan agar pemimpin dan ahli Umno memberi tumpuan kepada usaha memperkasa dan mengukuhkan parti, merapatkan saf dan meningkatkan perpaduan sesama ahli serta berusaha bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat dan pengundi.

“Selain itu menegaskan bahawa Umno perlu kembali memainkan peranan utama sebagai parti yang memimpin penyatuan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera, seterusnya sebagai parti tunjang menyatu dan mengharmonikan rakyat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ketetapan tersebut diambil selepas menyedari kerajaan yang memerintah hari ini adalah kerajaan gabungan Ismail Sabri daripada Umno sebagai Perdana Menteri.

Umno Bahagian itu juga memahami bahawa rakyat masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19.

“Negara sedang melalui fasa pemulihan dan sedang giat melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial berteraskan konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Selain itu, menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia dari Perdana Menteri untuk dilaksanakan dengan lebih lancar dan menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here