MANGSA banjir di Kelantan meningkat kepada 786 mangsa yang dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi, hari ini.
Ia melibatkan empat jajahan iaitu Gua Musang; Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.
Menurut aplikasi InfoBanjirJKM, jajahan Gua Musang menempatkan mangsa banjir tertinggi di negeri ini melibatkan 563 orang.
Semua mereka ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi.
Sementara, Kuala Krai menempatkan seramai 179 orang di enam PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, Pejabat Vaterina Daerah, SK Sungai Embak, Chenulang, Laloh dan Banggol Guchil.
Jeli dan Tanah Merah masing-masing hanya satu sahaja PPS di buka melibatkan SK Kuala Balah (36) serta SK Keleweh (8).
Semalam, dua sungai di Kelantan menunjukkan bacaan paras bahaya iaitu di Sungai Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah, sejak awal pagi.
Dua sungai berkenaan masing-masing mencatat bacaan 23.53 meter dan 23.6 meter, pagi semalam.
Dua lagi lokasi menunjukkan paras amaran iaitu di Sungai Lebir, Kuala Koh, Gua Musang dengan bacaan 71.85 meter dan Sungai Kelantan, Kuala Krai sebanyak 22.57 meter. – Malaysiapost

