KELIBAT Long Tiger yang menjadi buruan polis didakwa dikesan di satu lorong di belakang deretan premis.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memaparkan seorang lelaki berbaju berwarna putih, berkepala botak sedang berlari di sebuah lorong berkenaan didakwa mirip Long Tiger.
Long Tiger adalah lelaki etnik Rohingya yang melarikan diri ketika hadir prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak, kelmarin.
Bagaimanapun, setakat ini tiada mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kesahihan lelaki dalam video itu adalah Long Tiger.
Rakaman video itu tular di aplikasi TikTok sehingga mencuri perhatian warga maya yang rata-rata berpendapat kemungkinan pelanduk dua serupa.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hamim Ab Hamid, 32, atau dikenali sebagai Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula. – Malaysiapost

