Terima hakikat harga barang naik, Pemuda Amanah selar Exco Perak

0
1
Warga-warga asing sedang membeli barang di kedai runcit

PEMUDA Amanah Perak menyelar kenyataan seorang Exco Perak yang menggesa rakyat menerima hakikat kenaikan harga barang khususnya sayur-sayuran dan mengganggapnya sebagai perkara yang ‘tidak boleh dielak selagi kita hidup’.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata ia suatu kenyataan yang memperlihatkan sikap lepas tangan untuk bertanggungjawab tentang kenaikan harga barang ketika ini.

“Sebarang kenaikan yang tidak dapat dibendung perlu ditangani segera agar rakyat tidak terus terbeban apatah lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dilaporkan berkata rakyat perlu menerima hakikat tentang kenaikan harga barang saban hari.

Bercakap ketika sidang DUN Perak, Razman (PAS-Gunung Semanggol) berkata selagi mana manusia hidup, isu harga barang naik tidak akan selesai.

“Kita harus sedar perkara kenaikan harga ini tidak akan selesai selagi kita hidup. Oleh itu kita kena terima ‘fact’ (hakikat),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ikhmal mencadangkan kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan FAMA untuk membeli terus hasil pertanian dan ternakan dalam mengurangkan peranan orang tengah serta menjual semula melalui saluran Pasar Tani.

“Kaedah ini dilihat mampu menstabilkan harga barang seraya mengurangkan sehingga 30% harga barang daripada harga pasaran. Semoga rakyat tidak terus terbeban dan Exco tidak celupar mulut dalam memberi jawapan dalam sidang DUN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here