TRANSAKSI tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang akan dilaksanakan bermula awal tahun depan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang membincangkan mengenai kelebihan dan kekurangan penggunaannya.
Menerusi perkongsian penulis terkenal, Khairul Abdullah di Facebok, sepanjang menggunakan RFID selama tiga tahun kekurangan ketara yang terpaksa dihadapi adalah transaksi sering tidak dapat dikesan ketika melalui Lorong plaza tol.


“Kalau lorong yang kau selalu masuk setiap hari, ada peluang kau akan mudah lepas sebab kau dah tahu speed (laju) yang sesuai untuk dia detect (kesan).
“Itu pun ada chance (peluang) sangkut juga. Aku rate 8:2, makna 10 kali kau lalu, lapan kali lepas dua kali sangkut,” katanya dalam hantaran itu.
Khairul berkata, pemasangan pelekat RFID dikira kekal dan jika cermin lampu hadapan kereta pecah maka pelekat tersebut tidak lagi dapat digunakan.

Katanya, pelekat tersebut boleh ditampal di mana-mana bahagian kenderaan yang dirasakan sesuai tetapi jika ianya dicuri atau ditanggal, pelekat tersebut secara automatik tidak lagi boleh dipakai.
Berkongsi berkenaan kelebihan RFID pula, Khairul berkata penggunaannya melancarkan perjalanan di laluan plaza tol kerana tidak perlu beratur terlalu lama ketika waktu puncak.
“Best juga sebab aku tak payah risau takut baki tak cukup. Sebab kat TouchNgo e-wallet aku set auto topup. So sangat mudah untuk aku dan tak perlu risau tersangkut. Boleh track pula setiap perbelanjaan toll aku setiap bulan dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata, pelekat RFID kini boleh didapati di stesen minyak Shell dengan harga RM35 dan arahan pemasangan juga lengkap tertera di belakang kad.
Selain itu, pelekat RFID juga boleh dibeli menerusi aplikasi e-dagang Shopee di Touch ‘n Go Official.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan berkata, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan itu selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.
KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.
Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

