‘Apit Wan Lebor’ mengaku tidak bersalah hina kerajaan

0
2

SEORANG YouTuber didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak kerana memuat naik video menghina kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Facebook.

Roshafee Abdul Hamid, 39, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Sesyen Norita Mohd Ardani, hari ini, lapor The Star.

Lebih dikenali sebagai “Apit Wan Lebo,” namanya mendapat perhatian selepas memuat naik video menggunakan nama profil itu mengenai isu semasa yang melanda negara.

Mengikut kertas pertuduhan, Roshafee telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 9 Mei lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Keesokan harinya, video itu dilihat di laman Facebook miliknyanya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Batu Gajah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala Roshafeez diwakili peguam Keshvinder Singh dan Sukhdave Singh.

Liyana meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000, namun Keshvinder meminta wang jaminan dikurangkan.

Keshvinder berkata anak guamnya telah berkahwin, memiliki lima anak dan menjual nasi lemak di hadapan rumahnya di Kuala Kangsar.

“Dia hanya berpendapatan kira-kira RM1,500, dan tujuan ikat jamin adalah untuk memastikan tertuduh menghadiri perbicaraan mahkamah,” katanya.

Norita menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari depan sebagai tarikh sebutan berikutnya.

Pada 11 Mei lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan tertuduh ditahan kerana menggunakan kata-kata kasar mengkritik PKP yang sedang dilaksanakan dalam sebuah video.

Bagaimanapun, lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil, dan polis telah memulakan siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here