PEMULIHAN bekalan air di 463 kawasan yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mencapai tahap 92 peratus setakat jam 12 tengah hari tadi.
Pengurusan Air Selangor dalam kenyataan berkata, peratus pemulihan bagi kawasan Hulu Langat telah pulih sepenuhnya, di Putrajaya sebanyak 95.7 peratus dan di Sepang 91.2 peratus.
Manakala, pemulihan bekalan air di kawasan Petaling telah mencapai 90.1 peratus dan Kuala Langat 80 peratus.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam, 17 Disember 2021.
“Status pemulihan kawasan yang terjejas boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya kenyataan itu.
Dalam masa sama, Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost

