PEMINJAM dalam kalangan golongan B50 yang layak masih boleh memohon kemudahan di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dengan menghubungi bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Kementerian Kewangan (MOF) juga akan terus bekerjasama dengan sektor perbankan melalui Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, ia bagi memastikan peminjam yang masih terkesan akibat pandemik mendapat bimbingan dan bantuan, dan sektor perbankan tidak sewenang-wenangnya menyenarai hitam atau mengambil tindakan memufliskan peminjam.⠀
“Bagi peminjam yang memerlukan penstrukturan dan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan, cepat-cepatlah hubungi bank anda atau AKPK (https://www.akpk.org.my).
⠀
“Bantuan menyeluruh kerajaan juga merangkumi pelan kewangan peribadi bagi memastikan sokongan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam dalam memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi.
“Kita nak pastikan individu atau perniagaan mampu bertahan dan diberi cukup peluang dan masa untuk bangun semula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Tengku Zafrul berkata terdapat banyak contoh sokongan menyeluruh kerajaan, antaranya di bawah Bajet 2022 sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan bagi pengusaha mikro dengan pembiayaan 0% melalui TEKUN, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank (https://budget.mof.gov.my/manfaat/business.html).
“Manakala Kerajaan terus komited membantu Keluarga Malaysia B40 secara menyeluruh merangkumi pelbagai inisiatif (https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat.html),” katanya.
Beliau menjelaskan sejak Oktober lalu, peminjam dari golongan B50 berpeluang memanfaatkan program URUS yang merangkumi pengecualian faedah atau keuntungan untuk tempoh tiga bulan; penangguhan bayaran pinjaman, atau pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun.
Selain itu katanya, manfaat pengurangan kadar faedah bagi pembiayaan peribadi dan kad kredit dan;⠀sokongan khidmat nasihat oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pengurusan kewangan dan akses kepada langkah-langkah sokongan lain. – Malaysiapost

