‘Jangan salah sangka, saya kerja bukan sebab Bad sakit’ – Ashira

0
2

PENYANYI Ashira menegaskan keputusan untuk bekerja mengambil upah mencuci pinggan serta menghantar pesanan makanan bukan disebabkan untuk menanggung suaminya, Bad Indigo.

Ashira atay nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz tampil menjelaskan perkara sebenar bahawa dirinya sendiri yang memilih untuk bekerja, bukan dipaksa sesiapa.

“Pertama sekali saya tak terpaksa. Tiada yang paksa tapi saya yang nak kerja. Jangan salah sangka atau mudah percaya dengan tajuk. Saya kerja bukan sebab Bad sakit, atau dia suruh serta terpaksa.

“Bad tidak suruh saya kerja, tidak juga menghalang. Semua ini saya yang nak buat. Bosan duduk rumah saja, jadi kena keluar juga supaya minda sihat,” katanya dalam Insta Story.

Berikutan itu, pelantun lagu Di Ombak Resah itu memohon orang ramai berhenti memanjangkan bantuan kepada dirinya, kerana masih mampu berusaha untuk keluarganya.

“Boleh tak tolong jangan ‘tag’ orang itu ini untuk beri bantuan kepada saya? Saya tak memerlukan sungguh, saya sihat lagi boleh usaha sendiri.

“Terima kasih atas keprihatinan kalian. Terima kasih semua yang mendoakan saya. Jangan risau saya okey . Semoga Allah permudahkan segala urusan kalian,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai segelintir pihak yang bertanya wang saguhati yang diterima ketika menyertai program Gegar Vaganza (GV), Ashira meminta orang ramai membuat pengiraan sendiri.

“Ada yang bertanya mana duit GV? Ok nak ingatkan saya nombor tujuh, kemudian sudah setahun. Tolong buat pengiraan sendiri,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Bad berdepan kesukaran apabila lima jari kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes.

Bad, 45, berkata dia terpaksa berjalan menggunakan ‘walker’ untuk membantunya bergerak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here