DUA sungai utama di Kelantan mencatatkan bacaan di paras bahaya iaitu Sungai Kampung Jenob dan Sungai Golok di Tanah Merah sejak awal pagi tadi.
Menurut laman publicinfobanjir.water.gov.my sehingga sehingga jam 11 pagi, Sungai Kampung Jenob mencatatkan bacaan 23.71 meter melebihi paras bahaya 23.50 meter manakala Sungai Golok di Tanah Merah pula mencatatkan bacaan 23.57 meter juga melebihi paras bahaya 23.50 meter.
Dua sungai lain melebihi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh yang menunjukkan bacaan 72.16 meter dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.34 meter, lapor Sinar Harian.
Empat sungai lain pula mencatatkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Relai di Jalan Felda Aring dengan mencatatkan bacaan 114.16 meter, Sungai Aring di Jalan Felda Aring (69.81 meter), Sungai Lebir di Kampung Karangan (31.67 meter ) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah mencatatkan bacaan 13.30 meter.
Sungai-sungai lain masih berada di paras normal namun air sungai berada dalam trend menaik dan limpahan boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika hujan berterusan berlaku di beberapa lokasi utama.
Sebelum ini, media melaporkan, Kelantan dijangka tidak mengalami banjir besar seperti yang pernah dialami pada 2014 dalam tempoh musim tengkujuh kali ini,
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia berikutan jumlah taburan terkini hujan dicatatkan di negeri itu ialah sebanyak 1,825 milimeter (mm) atau 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan sebanyak 2,700mm.
Katanya, data hujan tahunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan baki peratusan hujan yang tinggal adalah sebanyak 32 peratus. – Malaysiapost

