Bank, AKPK giat laksana program URUS bantu golongan B50

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

INDUSTRI perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kini giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah URUS, peminjam akan mendapat manfaat seperti berikut:

i. Pengecualian faedah/keuntungan untuk tempoh 3 bulan;
ii. Penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras kemampuan peminjam; dan
iii. Sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang untuk menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain.

Menurutnya, peminjam juga akan diberi bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

Ini katanya bagi memastikan bantuan jangka panjang lebih bermakna kepada peminjam memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka, sejajar dengan pemulihan ekonomi.

“Kerajaan juga mengambil maklum sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880; serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

“Syarat-syarat lain adalah pinjaman/pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September 2021; dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar (performing loans).

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain daripada program URUS, Perdana Menteri berkata, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka.

Selain itu, katanya, bagi pengusaha mikro pula, RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus (0%) selama sekurang-kurangnya enam bulan; bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000; dan moratorium segera di antara 6 – 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Kerajaan mengambil maklum masih ramai rakyat terutama golongan B40 yang masih memerlukan sokongan. Sehubungan itu, di bawah Bajet 2022, usaha kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat adalah menyeluruh dan merangkumi pelbagai inisiatif.

“Ini termasuk peruntukan RM8.2 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia; RM2.4 bilion bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat; RM450 juta bagi bantuan awal persekolahan; RM400 juta bagi rancangan makanan tambahan termasuk bekalan susu harian bagi anak-anak miskin; RM450 juta untuk inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia; dan RM4.8 bilion bagi program JaminKerja dan Latihan MySTEP bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

“Kerajaan juga menitikberatkan perlindungan sosial bagi golongan B40. Sehubungan itu, menerusi Bajet 2022, antara penambahbaikan inisiatif perlindungan sosial termasuk kemudahan baucar perlindungan Tenang yang dinaikkan kepada RM75; meneruskan Elaun Mencari Pekerjaan tambahan dan meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi 9 juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO.

“Memandang ke hadapan, kerajaan telah mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang sedang giat membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here