Arafat buat hal lagi

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad diarah keluar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengambil tindakan itu susulan keengganan Arafat mendengar arahannya agar diam dan tidak mengganggu perjalanan sidang DUN.

Kekecohan bermula apabila Arafat tidak berpuas hati dengan jawapan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus Jamhari mengenai kenaikan harga barang.

Abdul Yunus memberi jaminan akan menjawab soalan itu secara bertulis berikutan kesuntukan masa yang diberikan kepadanya.

Bagaimanapun Arafat yang tidak berpuas hati, terus mendesak Abdul Yunus menjawab soalan-soalan yang dibangkitkannya.

Susulan itu, Timbalan Speaker Khalil Yahya yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat, memberi kata dua sama ada Adun Hulu Kinta tersebut mahu duduk atau keluar berehat di kantin.

Namun Mohamad Zahir yang masuk menggantikan Khalil terus membuat tindakan drastik mengarahkan Arafat keluar persidangan DUN.

Wakil rakyat PKR itu kemudiannya keluar sambil diiringi oleh Bentara.

Selasa lalu, Arafat mencuri tumpuan apabila membawa ayam segar ketika membangkitkan isu kenaikan harga barang dalam perbahasan Belanjawan Perak 2022.

Menurutnya, ayam itu sebagai simbolik ketidakpuasan hati rakyat dengan mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria tidak mengambil tindakan menangani kenaikan harga barang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here